Tuesday 21 May 2013

Mirror, mirror on the wall...



"Masa dulu, aku telah banyak berdosa kepadaNya. Ya Allah, ampunkan aku! Tolonglah terima taubatku ini ya Allah!"

"Aku ingin berubah. Aku sudah takut untuk berbuat dosa. Tetapi, mampukah masyarakat menerima aku kembali setelah aku mengaibkan diriku di hadapan mereka? Masih ada orangkah yang akan mempercayaiku?"

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh sahabat-sahabatku. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, saya memulakan hujah saya pada malam ini.

Hujah saya pada hari ini bertajuk "Cermin". Mudah bukan? Kenapa ianya bertajuk begitu? Tatkala anda berdiri di hadapan cermin, siapakah yang akan anda nampak? Kalau bukan diri anda, bahaya alamatnya tu. Hehe..

Okaylah sahabat. Kita dalam hidup ini mesti pernah berbuat dosa. Sama ada yang besar atau yang kecil. Kita ini tidak pernah dapat melarikan diri daripada membuat kesilapan. Kita bukan maksum ya? Selepas kita sudah sedar, barulah terbukanya hati kita untuk menerima hidayah Allah. Dan pada ketika itulah kita akan bertaubat.

Tapi masalahnya, kesilapan kita yang lampau telah memberi kesan dalam hidup sosial anda. Sama ada terhadap keluarga, sahabat, ataupun jiran tetangga. Jadi kita terfikir-fikir jika perubahan kita ini akan diterima oleh mereka atau tidak? Adakah mereka yang akan membantu kita dalam perubahan ini? Atau mereka yang akan membantutkan proses itu?

Mulut manusia kita tidak boleh tutup. Mereka memang akan berkata-kata. Kita nak larang, siapalah kita kan? Mungkin mereka akan berkata bahawa perubahan kita ini hanyalah hangat-hangat tahi ayam. Tak pun mereka akan membuka aib kita yang lama. Lama-kelamaan kita yang stres selepas itu kita berbalik kepada perangai yang lama. Sia-sia sahaja.

Jadi, perlukah kita mendengar kata-kata mereka? Mereka bukanlah Tuhan untuk menghukum kita, malah mereka juga bukanlah yang memberikan hidayah kepada kita. Kalau kata-kata itu telah melemahkan semangat kita, jadi hentikan telinga kita daripada mendengar kata-kata itu dan terus maju ke hadapan.

Allah berfirman dalam Surah Al-An'am Ayat 125 "Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam"
Jadi sahabat, jika kita melihat cermin, apa yang dipaparkan oleh cermin ialah diri kita yang sekarang. Bukanlah diri kita yang terdahulu! Jika sudah membuat kesilapan pada hari ini dan kita telah meminta keampunan daripada Allah SWT, maka pada hari esoknya, kita akan melihat diri kita yang baru di hadapan cermin. Cermin tidak pernah menunjukkan sifat kita yang sebelum ini.

Jadi bersyukurlah kerana hidayah telah sampai kepada kita. Apa yang orang nak katakan, biarkan sahaja. Teruskan perjalanan hidup kita di jalan yang direstui oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ra'ad 11 “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri yang mengubahnya.”
Apa yang saya tulis ini adalah untuk diri saya dan juga sahabat-sahabat saya yang saya sayangi. Segala kebaikan itu datangnya daripada Allah SWT, dan segala kelemahan itudatangnya daripada saya. Moga post ini dapat memberi manfaat kepada pembacanya. Amin, InsyaAllah. Selamat berjuang ke arah kebaikan sahabat! Assalamualaikum!

No comments:

Post a Comment

ShareThis