Thursday 16 May 2013

Nenek, nenek si bongkok tiga.

Assalamualaikum muslimin dan muslimah!

Kini dunia sudah moden. Daripada handphone yang sebesar kamus, kini kita sudah ada iPhone 5 yang nipis. Daripada basikal tradisional, kita sudah ada fixie. TV yang seperti kotak, kini sudah seperti wayang di rumah. Komputer yang dulunya retro, kini sudah boleh di bawa dalam handbeg. Dulu guna disket, sekarang guna thumbdrive. Dulu guna seekor merpati untuk hantar surat, tapi sekarang Facebook dah ada. Macam-macam perubahan yang kita boleh lihat pada zaman ini.

Begitu juga dengan manusia. Dulunya memakai batik, sekarang pakai skirt. Orang lelaki pula pakai baju melayu, tak pun baju tshirt putih petani biasa, tetapi sekarang sudah bermacam-macam style. Orang dulu-dulu ibu bapa yang mencari calon, kini kita yang cari sendiri. Orang dulu-dulu tak kira bandar atau kampung, mereka makan ulam-ulaman untuk kecantikan diri, sekarang kita ada New York Skin Solution. Dulunya, orang percaya kepada pantang dan larang, sekarang kita kata benda itu semua karut. Zaman dulu orang menghiburkan hati dengan sajak, syair, gurindam dan pantun. Tapi sekarang hard rock dan K-Pop.

Begitulah perubahan pada zaman sekarang. Dunia sudah moden, kata mereka. Cuba kalau kita suruh mereka lakukan aktiviti-aktiviti orang dulu-dulu. Mesti mereka kata itu zaman Tok Kaduk. Dah lapuk. Kini dunia sudah berubah kepada lebih muda dan berinovasi.


<------ Kenapa gambar ini?

Kenapa saya menunjukkan gambar perempuan tua ini? Adakah dia nenek saya? Bukan. Saya nak cakap pasal orang dulu-dulu ke? Bukan. Saya nak bezakan zaman ke? Mungkin. Saya nak suruh hormat orang tua ke? Pun bukan. Jadi kenapa saya upload gambar orang tua ini?

Muslimin dan muslimah yang dikasihi. Ingat lagi tak tentang sirah Nabi Muhammad ketika Isra' Mi'raj? Apakah yang baginda nampak ketika Isra' Mi'raj? Macam-macam kejadian yang baginda nampak tetapi baginda tidak memahami apa yang dilihat. Jadi ditanyakan kepada Jibril tentang apa yang dilihat. Dan salah satunya adalah wanita tua yang terbongkok dan uzur. Ya sahabat, itulah usia dunia kita pada ZAMAN Rasulullah. Zaman kita? Mungkin sudah terbaring perempuan tua itu menunggu maut (Kiamat). Dunia bukan semakin moden! Tetapi semakin uzur! Mereka katakan moden kerana mereka dihidangkan dengan bermacam-macam jenis teknologi dan inovasi!

Kenapa saya bangkitkan isu ini? Sebab saya sudah muak apabila mendengar orang kata "Dunia sudah moden, tak perlulah ikut seperti zaman dulu. Orang kena 'open-minded' sikit". Mereka akan cakap begitu ketika kita bangkitkan isu penutupan aurat, perhubungan antara lelaki dan perempuan yang belum halal, solat, adab bersahabat, cara pemakaian dan yang paling saya menyampah apabila orang bandingkan cara hidup (sunnah) Rasulullah dengan cara hidup sekarang.

Memang zaman sudah moden, tapi beringatlah bahawa usia dunia sudah uzur! Tersangat uzur dan menunggu masa untuk kiamat. Jadi, kenapa perlu membuka aurat di hadapan orang ramai? Apa salahnya mengucapkan salam dengan rakan-rakan? Kenapa perlu bersentuhan ketika belum halal? Penat ke mengamalkan sunnah Rasulullah? Susah sangat ke untuk berpakaian ikut syarak?

Kadang-kadang rasa macam mahu tanya kepada mereka "Best sangat ke tak tutup aurat? Best ke pegang-pegang, cium-cium dengan ajnabi? Apa yang bestnya nikmat dosa di dunia?" Betul tak? Rasa macam nak pergi dekat dengan mereka dan terus ajukan soalan ini. Mereka tak ingat kiamat ke? Hari Pengadilan dan Hari Pembalasan? Nikmat Syurga dan Azab Neraka?

Saya post ni, bukannya saya nak bajet bagus atau bajet pandai. Tetapi ini juga peringatan kepada diri saya sebab saya juga manusia seperti anda semua. Selalu alpa ketika dapat nikmat dunia. Dunia pada akhir zaman ini pun masih ada orang bermaksiat walaupun kiamat sudah dekat. Cuba bayangkan ketika kita kecil dan lihat diri kita sekarang. Masa berjalan terlalu pantas. Dulu kita seorang yang kecil dan tidak berupaya untuk fikir yang mana baik dan buruk. Kini sudah besar kita mampu tetapi kenapa masih tidak menggunakan kemampuan itu?

Nak cakap kurang pendidikan agama, tak juga. Sekolah? Belajar mengaji? Cukup untuk kita ada ilmu agama, tetapi kenapa masih lupa kepada Pencipta kita? Jangan cakap kita kurang pendidikan agama! Kesian kepada orang yang sudah mengajar kita. Salahkan diri sendiri kerana tidak ada minat dan tidak ada usaha untuk menuntut ilmu agama! Bukan salah guru-guru kita!

Saya bukanlah seorang ustaz atau ulama' untuk memberi hujah yang hebat-hebat seperti Ustaz Azhar Idrus ataupun Dato Dr. Fadzilah Kamsah. Tetapi saya mahu kita semua sedar tentang hakikat ini. Sedar bahawa kita sudah ditipu oleh nikmat dunia. Dunia ini sementara sahaja. Entah-entah esok, lusa, tulat, minggu depan atau tahun depan akan berlakunya kiamat. Dan pada ketika itulah kehidupan kita di dunia akan berakhir buat selama-lamanya. Dan ketika itu jugalah kita akan melangkah ke alam yang akan kekal abadi.

Mampukah kita menahan azab akhirat selama-lamanya? Atau kita mahukan nikmat syurga yang tiada pengakhirannya?

Tutup mata anda, bayangkan jika kita mati esok. Tak pun bayangkan bagaimana dahsyatnya Kiamat itu. Pernah tengok filem 2012? Itu masih lagi sesuatu imaginasi manusia. Masih minimum tahap imaginasi pengarah itu. Kiamat itu sungguh dahsyat! Sehinggakan otak manusia tidak mampu untuk membayangkannya. Keperitan dan kegerunannya amat drastik!

Jadi apa yang kita tunggukan lagi? Masa berjalan dan tidak akan berpatah balik. Setiap saat yang anda gunakan di dunia ini tidak akan dikembalikan. Janganlah ketika sudah menghadap Allah SWT barulah kita meminta belas kasihanNya. Kita sudah diberi peluang di atas dunia ini jadi kenapa tidak menggunakan peluang keemasan ini?

Kita renung-renungkan firman Allah dalam Surah Ibrahim ayat ke-44 tentang orang yang melutut di hadapan Allah meminta hidupnya kembali demi beribadah untukNya;
"Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada manusia yang ingkar itu jangan mereka lupakan hari kiamat yang padanya mereka akan didatangi azab, kerana pada saat itu, orang-orang yang berlaku zalim akan merayu dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, (kembalikanlah kami ke dunia dan) berilah tempoh kepada kami hingga ke suatu masa yang dekat, supaya kami menyahut seruanMu (untuk mengesakanMu dan mentaati perintahMu), dan supaya kami menurut ugama yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu". Dan (rayuan mereka akan ditolak dengan dikatakan kepada mereka): "Tidakkah kamu telah diberikan tempoh untuk berbuat demikian, dan bukankah kamu telah bersumpah (semasa kamu dalam dunia) dahulu, bahawa keadaan kamu tidak akan mengalami sebarang perubahan?"
Wallahualam.
Saya menulis untuk diri sendiri dan orang lain.
Yang baik-baik itu datangnya daripada Allah SWT dan yang lemah itu datang daripada diri saya.
Assalamualaikum!

No comments:

Post a Comment

ShareThis